Sharizal Shaarani
Walaupun kita berlainan parti, peralihan kuasa secara aman harus dihormati oleh semua pihak
KENYATAAN MEDIA
4hb Mac, 2020
Walaupun kita berlainan parti, peralihan kuasa secara aman harus dihormati oleh semua pihak
KUASA mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia ke 8 Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik oleh Yang DiPertuan Agong pada 1 Mac 2020.
Semua perkembangan sepanjang minggu ini dan sebelumnya mempamerkan kebolehan rakyat Malaysia untuk mengutamakan keamanan dan komitmen kepada demokrasi. Syabas kepada semua rakyat Malaysia.
Pada masa yang sama, barisan pembangkang, yang dipimpin oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, harus dihormati atas peranan mereka memperjuangkan kepentingan mereka tanpa melintasi garis-garis panduan yang termaktub dalam demokrasi Malaysia.
Justeru itu, sebagai penghayatan semangat dan prinsip demokrasi, kami menyarankan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin untuk menepati perutusan tarikh sidang parlimen terbaru yang ditetapkan pada 18 Mei 2020.
Perundangan yang berfungsi dan aktif adalah salah satu tunggak utama demokrasi kebangsaan bersama badan kehakiman yang bebas dan tidak berpihak.
Kami sedar bahawa ada beberapa pihak dengan kepentingan berbeza tidak selesa dengan proses peralihan kuasa ini tetapi kegusaran mereka tidak patut dijadikan alasan untuk menidak-iktiraf hakikat yang perubahan ini berlaku selaras dengan semua peraturan yang dipersetujui dibawah perlembagaan dan diuruskan oleh pihak-pihak dan institusi-institusi yang telah diamanahkan untuk menjalankan tanggungjawab penentuan kuasa eksekutif.
Kerajaan, pada masa yang sama, harus memastikan yang hak untuk bercanggah pendapat secara aman harus dipertahankan — samada melalui media, di Parlimen ataupun oleh masyarakat sivil. Antara hak demokratik ini adalah perhimpunan aman. Kerajaan harus memainkan peranan, dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia, untuk membenarkan perhimpunan-perhimpunan aman yang tidak bertekad untuk melanggar undang-undang negara.
Saranan ini berkait dengan beberapa laporan yang diterima oleh Suruhanjaya Hak Asasi (Suhakam) baru-baru ini berhubung dengan perhimpunan-perhimpunan aman, dan penganjurnya, menghadapi masalah dengan pihak penguatkuasa. Kami harapkan seterusnya, hak bersuara dilindungi dan bukan dibisukan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin telah menyatakan dalam ucapan pertama secara langsung kepada rakyat jelata yang beliau masih memegang kepada semangat reformasi, agenda perubahan dan untuk menolak korupsi. Kami mengharapkan kejayaan kepada Tan Sri dalam usaha-usaha ini dan supaya beliau tidak menganjak dari keutuhan untuk menyempurnakan janji-janjinya.
Pada masa yang sama kami meminta Tan Sri untuk menyokong semua usaha masyarakat sivil untuk meningkatkan pendidikan dan perkembangan demokrasi dalam negara. KUASA antara persatuan masyarakat sivil yang terlibat dalam usaha ini. Pengundi, seperti pengundi muda, memerlukan kaedah dan pengetahuan untuk memahami perkembangan-perkembangan demokrasi di negara, seperti apa yang berlaku sepanjang dua minggu ini. Kesedaran dan pengetahuan membolehkan mereka untuk memilih secara matang.
Sudah jelas yang penerimaan peralihan kuasa secara aman ini akan mengambil masa oleh kerana perbezaan pendapat dan pegangan politik yang tersedia adalah di Malaysia. Namun, harus dibanggakan yang semangat demokrasi teguh dan terus membara dalam negara yang tercinta.
KUASA ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua rakyat Malaysia atas penglibatan mereka dalam proses peralihan kuasa yang aman ini.
KUASA
Kenyataan adalah daripada KUASA. Sekiranya ada kemusykilan ataupun memerlukan maklumat lanjut, sila hubungi presiden kami, Praba Ganesan, (+60133939484)